You are now in | Siti Nurazlinda's Official Blog

Sabtu, 28 Disember 2013

Biarkan dunia berputar seiring waktu berjalan.

Assalamualaikum.

Tajuk entri seperti status di facebook. Ada kisahnya, suka dan duka. Hanya curahan hati, siapa tahu akan jadi memori di kemudian hari.

Bismillah...

Tahun 2013, terasa sungguh singkat. Biarpun masing masing punya 365 hari setahun.

Januari 2013, aku kutip pengalaman berharga. Cuba menggalas tanggungjawab sebagai seorang pembantu butik pakaian milik guru aku. Bukan aku tak pernah bekerja sebelumnya, cuma pengalaman baru ini sangat berharga untuk diri aku. Memandangkan aku sangat berminat dengan bidang perakaunan, kira kira dan berkaitan dengan duit jadi kerja ini sangat sesuai dengan jiwa aku. Tak lama mana sehingga penghujung Februari, aku ambil keputusan untuk berhenti disebabkan sifatku yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama sama ibu dan adik bongsuku.

April 2013, aku dikejutkan dengan kehilangan atuk. Sadiken bin Abdul Rahman, atuk kesayangan ku sampai bila bila. Malangnya aku tak sempat untuk melihat wajah arwah untuk kali terakhir. Rasa terkilan. Kubur arwah pun aku tak sempat ziarah. Hanya balik kampung semata mata balik je. Terkilan dengan pakcik saudara ku tak perlu lah aku hebohkan. Semoga arwah atuk tenang di alam sana.

Mei 2013, masa untuk aku meneruskan pembelajaran aku. Aku diterima di Kolej Matrikulasi Pahang. Dalam bidang perakaunan. Hati berbelah bahagi. Impian untuk ke matrik aku dah simpan sejak tingkatan empat. Tapi terlalu jauh hingga ke sebelah pantai timur. Dan aku tak pernah berpisah jauh dengan ibu. Setelah aku fikirkan cita cita aku, aku ambil keputusan untuk terima tawaran itu.

Ogos 2013, tak pernah aku sangka bahawa perjalanan hidupku di matrik akan berakhir dalam sekelip mata. Bukan disebabkan kena tendang atau aku bermasalah disiplin di sana. Aku ambil keputusan untuk keluar dari matrik disebabkan masalah kewangan yang dihadapi olehku. Cukup berat aku rasa duduk tanpa keluarga disisi. Aku tak mampu fokus untuk teruskan kehidupan disana.

September 2013, pelbagai kata kata yang aku dengar, yang terpaksa aku tanggung dalam tempoh selepas aku keluar dari matrik dan berhenti belajar. Aku tahu ini risiko yang memang seharusnya aku hadapi. Aku cuba untuk bertahan dengan mereka di sekelilingku. Guru guru, sanak saudara. Semua mempertikaikannya. Tak kurang juga yang tetap memberi semangat. Aku bersyukur, ibu ayah tak pernah rasa malu walaupun aku tahu di sudut hati mereka, mereka inginkan aku berjaya. Menggenggam segulung ijazah seperti anak anak orang lain.

Oktober 2013, sebulan aku menganggur. Menahan rasa sakit dengan kata kata mereka yang tak pernah memahami aku. Akhirnya aku diterima untuk bekerja sebagai juruwang di Guardian. Tak seberapa tapi bersyukurlah aku mampu untuk buat sesuatu yang berguna untuk ibu dan ayah. Membantu sekadar yang mampu. Memenuhi keperluan adik adik. Aku tak menyesal malah aku berbangga kerana aku mampu buktikan untuk menjadi seorang anak dan seorang kakak. Aku berbangga kerana di saat usia yang muda aku sudah mampu menggalas tanggungjawab yang bagiku cukup berat. Di saat remaja seusia berlumba lumba menuntut ilmu, aku seharian membanting tenaga. Aku belajar erti susah, belajar erti menghargai pengorbanan ayah, belajar erti menghargai kasih sayang ibu. Aku bangga.

November 2013, tanpa dirancang. Aku dipanggil untuk menghadiri satu temuduga untuk pemegang biasiswa peneraju tunas potensi oleh pihak Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera. Pada awalnya hati masih ragu, fikir berapa banyak yang aku perlukan jika aku mahu sambung belajar. Tapi setelah berfikir, minta pendapat, cari info berguna akhirnya aku pergi juga ke bangunan Mercu UEM. Detik yang sangat bermakna bagi aku. Andai masa dapat diundur semula, aku ingin ulang semula detik detik itu.

Disember 2013, arwah abah pergi tinggalkan kami. Abah angkat, walaupun tiada pertalian darah tapi kasih sayang antara kami tak pernah berbeza. Arwah pergi menghadap Yang Esa kerana sakit jantung yang kritikal. Alhamdulillah kali ini aku mampu menatap wajah arwah buat kali terakhir, dapat cium wajah bersihnya buat kali terakhir. Kasih sayangnya takkan aku lupakan sehingga akhir hayat aku. Semoga arwah tenang di alam sana.

Kini.. Tirai 2013 hampir melaburkan tirai. Aku bersyukur, aku mampu hidup dengan bahagia, masih dapat bernafas di bumiNya. Tahun 2013 akan ku simpan, selamanya dalam ingatan. Semoga tahun 2014 menjadi tahun yang lebih berharga dalam hidupku.

Selamat tahun baru :)


Thanks For The Reading. Do Leave Your Comments Okayy!